Terdapat beberapa
persoalan yang selalu berbangkit dalam polemik tentang tamadun dan ketamadunan.
Antaranya, termasuklah persoalan yang sangat asas, misalnya, apakah tamadun?
Apakah yang menjadi landasan dalam memahami pengertian dan konsep tamadun?
Apakah ukuran, nilai atau penanda aras bagi menentukan tahap pencapaian
ketamadunan bagi sesuatu tamadun? Atau, persoalan yang lebih umum sifatnya,
seperti, apakah yang menjadi rujukan bagi menentukan suatu bangsa atau sesuatu
masyarakat itu bertamadun atau sebaliknya?
Persoalan-persoalan
ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Ianya sudah sekian lama menjadi polemik
dalam dunia pemikiran ketamadunan dan peradaban manusia. Debat mengenainya
boleh ditelusuri seawal zaman Greek lagi apabila Plato mengemukakan konsep polis dalam karyanya The Republic yang merujuk kepada bentuk
dan jenis masyarakat yang mencapai tahap kemajuan dan juga kewujudan
institusi-institusi budaya, politik dan kemasyarakatan dalam rangka jalinan
hubungan sosialnya. Di kalangan pemikir Islam, al-Farabi misalnya mengemukakan
konsep al-madinah al-fadilah, manakala Ibn Khaldun mengemukakan umran
badawi dan umran hadhari. Kesemua ini adalah bagi menjawab
persoalan-persoalan yang berkisar di sekitar peradaban dan ketamadunan.
Tujuannya tiada lain kecuali untuk memperjelaskan konsep dan makna peradaban
dan ketamadunan itu dan seterusnya mengemukakan kerangka konseptualnya tentang
apakah bentuk dan rupa peradaban dan tamadun yang diimpikan oleh manusia.
Ruang lingkup perbahasan
tamadun dan ketamadunan sememangnya cukup luas, seluas ruang lingkup kehidupan
manusia itu. Bagi menjelaskan subjek yang luas ini, kita memerlukan suatu
pendekatan yang dapat memandu memberi kefahaman yang lebih jelas tentang
segi-segi penting dan elemen-elemen asas dalam proses pembinaan tamadun.
Bagi tujuan ini,
pendekatan yang lebih wajar adalah memulakannya dengan mengenengahkan suatu
gambaran umum tentang istilah-istilah yang lazim digunakan dalam perbincangan
dan wacana ketamadunan. Penjelasan ini amat perlu kerana
kegagalan memahami konsep-konsep atau istilah-istilah itu akan menyebabkan
tersimpangnya pemahaman dan tersasarnya pandangan tentang tamadun dan ilmu
ketamadunan itu. Ini secara langsung akan membolehkan seseorang mendapatkan intipati
daripada konsep-konsep itu dan seterusnya membina pandangan dunia (world view) serta kerangka rujukan (frame of reference) apabila membicarakan
isu-isu ketamadunan dan peradaban secara khusus.
Kerangka rujukan ini penting kerana pengajian ketamadunan
itu perlu di bina di atas asas epistemologi yang jelas dan bertitik tolak
daripada premis yang disesuaikan dengan acuan pandangan dunia yang tertentu
bersandarkan latar budaya, ideologi dan agama di mana ianya dibina. Matlamat
daripada pembinaan dan kefahaman tentang pandangan dunia ini tidak lain
daripada untuk menjanakan upaya intelektual bagi membolehkan ukuran bertamadun
dan tidak bertamadunnya sesuatu masyarakat atau bangsa atau komuniti itu dibuat.
0 ulasan:
Catat Ulasan
Selamat datang ke 0x2013LΣΣT. Sekiranya anda mempunyai persoalan, pandangan, permintaan, bantuan, cadangan dan sebagainya. Tinggalkan pesanan anda ke dalam kotak komen. Terima kasih !
- http://0x2013.blogspot.com -