Isnin, Oktober 07, 2013

Akhbar UTUSAN 6 Okt 2013 - Titisan air mata iringi kejayaan anak yang telah tiada

MOHD. Noh Daliman (dua dari kiri) menyerahkan ijazah sarjana muda kepada Halimah@Noriah Dollah, ibu kepada Allahyarham Balqis Amira Mat Hasan pada Majlis Konvokesyen UTHM Ke-13 di Batu Pahat, semalam
BATU PAHAT 6 Okt. - Hanya doa dan titisan air mata mengiringi dua keluarga yang sepatutnya bergembira melihat kejayaan anak-anak mereka menggenggam skrol pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ke-13 di sini hari ini.

Bagi Rustam Jinis, 53, hasratnya untuk meraikan anaknya, Maisurah Rustam, 24, pada majlis konvokesyen tersebut tidak kesampaian apabila anak keempat daripada 12 beradik itu terlebih dahulu menghadap Ilahi akibat nahas jalan raya 23 Mei tahun lalu.

Menurutnya, arwah anaknya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pengeluaran dan Operasi) sedang menjalani latihan praktikal industri apabila terlibat kemalangan ketika menunggang motosikal ke pejabat di Paka, Terengganu.

"Perasaan saya ketika ini bercampur baur antara sedih, bangga dan juga sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk meraikan kejayaan arwah pada hari ini.

"Namun, saya pasrah dengan ketentuan Ilahi kerana yakin apa yang berlaku ada hikmahnya," katanya dalam nada sebak selepas menerima ijazah arwah anaknya itu yang disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk. Dr. Mohd. Noh Daliman di Bilik Kenamaan, Dewan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Rustam berkata, meskipun masih merasai kehilangan Maisurah, beliau sekeluarga tetap berbangga apabila seorang lagi anaknya, Bazilah, 22, berjaya menyambung pengajian dalam jurusan sama di UTHM kira-kira tiga minggu lalu.

Perasaan sama turut dirasai Halimah@Noriah Dollah, 63, ibu kepada Balqis Amira Mat Hasan, 26, graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya tahun lalu.

Menurutnya, arwah anaknya yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di Kuantan, Pahang pada 1 September tahun lalu ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan sahabatnya.

"Arwah pernah melahirkan hasrat untuk menjadi jurutera suatu hari nanti, namun cita-citanya itu tidak kesampaian. Saya reda dengan ketentuan Ilahi," katanya

Sumber :
- http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131007/dn_16/Titisan-air-mata-iringi--kejayaan-anak-yang-telah-tiada

0 ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada penulis :
Selamat datang ke 0x2013LΣΣT. Sekiranya anda mempunyai persoalan, pandangan, permintaan, bantuan, cadangan dan sebagainya. Tinggalkan pesanan anda ke dalam kotak komen. Terima kasih !
- http://0x2013.blogspot.com -