Khamis, September 12, 2013

TITAS : AGAMA DAN TAMADUN

Agama adalah satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam kajian ketamadunan. Fenomena agama penting difahami kerana ia merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Berasaskan fahaman sekular agama melibatkan kepercayaan (belief) terhadap suatu yang bersifat “transcendent” dan “beyond”.4

Manakala tamadun merujuk kepada suatu tingkat pencapaian daripada segi pembangunan sosial, keadaan masyarakat yang berperadaban atau menjadi bertamadun. Ianya bermaksud suatu masyarakat yang mencapai tahap maju dalam bidang sosial, seni dan sains yang mempunyai kompleksiti daripada segi budaya yang dibentuk dalam kelompok tertentu berasaskan epoch yang tertentu.

Bagi menghuraikan hubungan antara tamadun dengan agama, suatu pendekatan yang bersifat kefalsafahan diperlukan. Ia harus bertitik tolak daripada konsep manusia sebagai agen tamadun par exellence. Oleh kerana tamadun dibina atas acuan dan bentuk serta latar budaya masyarakat yang tertentu maka faktor keagamaan atau sistem kepercayaan sesuatu masyarakat itu tidak dapat diketepikan dan/malah ianya dalam banyak keadaan menjadi faktor penentu.

Hal yang demikian ini dapat dibuktikan melalui singkapan sejarah tamadun-tamadun besar dunia. Tamadun-tamadun dunia yang pernah muncul seperti Aztec, Sumeria/Babylonia, Masir Purba, China, Indus-Ganges misalnya mempunyai tradisi sistem kepercayaan yang mendominasi malah menentukan imej tamadun tersebut.

Kehidupan berbudi pekerti mulia dan bermoral tinggi merupakan perkara penting dalam kehidupan bertamadun. Pembinaan sifat tersebut pada diri seseorang berkait rapat dengan kepercayaan beragama dalam kehidupan seorang manusia. Agama berperanan membentuk pandangan semesta seseorang dan sesebuah masyarakat serta perilaku tindakan mereka dalam kehidupan. Daripada bukti tamadun-tamadun silam, dapat dilihat bagaimana agama mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan tamadun. Bukti-bukti peninggalan dan barangan tamadun-tamadun silam yang dapat dilihat sehingga ke hari ini menggambarkan penghayatan yang tinggi terhadap kehidupan beragama.

Namun begitu, bukan semua tamadun dipengaruhi dengan kuat oleh agama sebagaimana tamadun Barat kontemporari yang lebih cenderung memencilkan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan masyarakatnya. Selain daripada itu, terdapat beberapa tamadun yang turut mengumpulkan pelbagai agama yang berbeza sebagai pegangan masyarakat. Fenomena ini dapat dilihat dalam zaman tamadun Islam yang lalu, apabila tidak semua yang bernaung di bawah tamadun itu terdiri dari kalangan masyarakat Islam.

Berasaskan pandangan para sarjana umumnya, terdapat sekurang-kurangnya dua aliran iaitu yang bependapat agama mempunyai pengaruh dan peranan yang besar terhadap tamadun di satu pihak dan mereka yang skeptikal terhadap peranan agama disatu pihak yang lain. Sebagai contoh, Arnold Toynbee berpendapat “in the course if its evolution, a civilisation produced, among other things, a universal state and higher form of religion”. Namun seorang lagi sarjana Amerika, Thomas Berry berpendapat bahawa tamadun ketimuran (oriental civilisation) seperti China dan India tidak dapat difahami sepenuhnya kecuali dengan merujuk kepada agama-agama besar Asia. Manakala Edward Sullivan ketika mengulas dan mengiktiraf peranan Islam dalam pembinaan tamadun Islam mencatatkan “Muslim civilisation was the product of Muslim religion”.

Para sarjana Islam dalam bidang ini pula telah membuat penegasan tentang kedudukan, peranan serta pengaruh Islam sebagai pemangkin kebangunan tamadun Islam. Muhammad Abduh misalnya dalam Tafsir al-Quran telah membuat suatu generalisasi bahawa semua tamadun (madaniyyat) dibangunkan di atas asas agama. Manakala Ali Shariati pula menekan persoalan peranan Islam sebagai faktor utama dalam proses kebangunan Tamadun Islam.

1 ulasan:

Catat Ulasan

Pesanan daripada penulis :
Selamat datang ke 0x2013LΣΣT. Sekiranya anda mempunyai persoalan, pandangan, permintaan, bantuan, cadangan dan sebagainya. Tinggalkan pesanan anda ke dalam kotak komen. Terima kasih !
- http://0x2013.blogspot.com -